Monday, December 7, 2015



Kumpulan kami telah ditugaskan untuk menemu ramah seseorang yang berbangsa Cina. Pada 6 Disember 2015, sekitar pukul 5 petang, kami telah membuat sesi temu ramah bersama seorang pak cik yang bernama Vincent Lee  di sekitar tasik dan bukit yang berdekatan dengan UiTM Kampus Puncak Perdana. Beliau berasal dari Shah Alam, Selangor dan berusia 69 tahun. Beliau menganut agama Buddha. Selain itu, beliau mempunyai 2 orang anak masing-masing lelaki dan perempuan. Latar belakang pekerjaan beliau adalah seorang pesara dalam sektor kerajaan. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Uncle Lee, seorang yang aktif untuk melakukan aktiviti yang lasak seperti mendaki bukit.

Tempat pertemuan kami telah diadakan di sekitar taman yang tidak berjauhan dengan kawasan kampus. Sekitar jam 5 petang, kami telah bertemu tepat pada masa yang dijanjikan. Seterusnya, kami memulakan perjalanan menuju ke tasik dan bukit yang berdekatan. Hal ini kerana, beliau lebih selesa jika sesi temu ramah ini dijalankan disekitar kawasan tersebut sambil melakukan aktiviti riadah. Semasa dalam memulakan perjalanan kami ke tasik, beliau telah memulakan sesi perbualan dengan menyatakan satu pepatah Inggeris iaitu, “Life is not adventure, but Life is about Journey”. Bagi beliau, kehidupan ini adalah satu perjalanan untuk mencari kehidupan sebenar.

Semasa dalam perjalanan tersebut, pelbagai persoalan yang telah diutarakan kepada beliau. Antaranya ialah latar belakang budaya Cina itu sendiri dari segi kebendaan dan bukan kebendaan. Seterusnya, kami juga bertanya mengenai pendapat atau persepsi beliau tentang agama Islam dari segi penganut dan agama Islam itu sendiri. Sungguhpun jawapan yang diberikan tidak menepati seperti soalan yang telah diberikan, namun segala jawapan yang diberikan adalah berbentuk kiasan yang harus kami sendiri berfikir. Antara contoh adalah, apabila beliau menyoal kami tentang “di mana syurga dan di mana neraka”. Bagi beliau, jika seseorang itu berbuat baik di dunia, maka ganjarannya adalah syurga. Dan jika seseorang itu berbuat jahat, di dunia, maka ganjarannya adalah neraka.

Bagi pendapat peribadi, beliau tidak gemar dengan soalan yang terlalu khusus tentang sesuatu perkara. Hal ini menjadi penyebab beliau tidak mahu untuk menjawab soalan kami secara terus. Seperti yang telah dinyatakan, beliau lebih menjawab soalan kami berbentuk kiasan. Pelbagai pepatah Inggeris yang telah beliau berikan kepada kami semasa sesi temu ramah tersebut.


Secara kesimpulannya, kami berasa amat selesa dengan beliau kerana beliau seorang yang mudah didekati dan mesra serta sentiasa memberi maklum balas yang baik terhadap segala persoalan yang telah kami ajukan. Selain itu, kami juga berasa sangat teruja dengan kebolehan beliau yang fasih berbahasa Inggeris dan sentiasa menyatakan pepatah Inggeris yang sekali gus memberi makna yang mendalam. Malah, beliau juga seorang yang berfikiran terbuka dalam memberikan maklumat dan input kepada kami. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau kerana sudi meluangkan masa bersama kami bagi menyiapkan tugasan yang telah diberikan kepada kami. Segala yang beliau nyatakan sememangnya memberi impak yang mendalam kepada kami.

2015278696
2015258656
2015283342

[GMT+8:00, Waktu Malaysia]

No comments:

Post a Comment